SARANAN PM TINGKAT PENGGUNAAN BI DI SEKOLAH DIRAIKAN

Siaran Media BAHASA


Saranan PM Tingkat penggunaan BI di sekolah diraikan - Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA


KOTA KINABALU : Saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar kementerian Pendidikan fokus kepada usaha memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah di negara ini pada tahun hadapan amat dialu-alukan dan diraikan, kata Datuk Jasni Matlani, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). 

Kata Jasni, penguasaan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa antarabsngsa dan bahasa ilmu adalah penting, tetapi pada waktu yang sama penguasaan Bahasa Kebangsaan juga mesti pada tahap terbaik, dan mesti diperkukuhkan. Lebih-lebih lagi kita kini berada dalam zaman moden yang terdedah kepada transformasi yang mencabar serta berhadapan reformasi dalam pelbagai bentuk. 

"Kita selalu bercakap mesti mengutamakan Bahasa Inggeris. Tetapi apabila kita bercakap dalam bahasa Inggeris, bahasa yang kita gunakan ke laut, dan kucar-kacir. Bercakap dalam bahasa Kebangsaan pun kita seperti rusa masuk kampung. Jadi sebaik-baiknya kita menguasai bahasa ini kedua-duanya. Apa lagi di peringkat sekolah, kerana semuanya bermula di sini." kata Jasni.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas merasmikan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (HPPK) 2023, di dataran Buhavan, di Dongonggon, Penampang, di sini, baru-baru ini.

Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, kita tidak dapat mengelakkan untuk menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi, di peringkat antarabangsa dan digunakan pakai oleh sebahagian besar negara-negara di dunia ini. 

"Tetapi Bahasa Kebangsaan kita tetap berperanan sebagai Bahasa ilmu dan bahasa yang menyatupadukan kita, serta sudah termaktub dalam perlembagaan negara. Maka, kita mesti menguasainya dengan baik dan mempelajarinya secara bersungguh-sungguh di peringkat sekolah lagi. Jangan seperti kata peribahasa, yang dikejar tak dapat, yang dikandung berciciran.  Siapa yang rugi?" kata Jasni.

Menurut Jasni lagi, beliau sedih, apabila melihat senario, pelajar asing yang baharu datang setahun dua, dan menuntut di pusat pengajian tinggi negara ini, tetapi mereka menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik. Bahasa Inggeris mereka juga baik.

"Malangnya rakyat negara ini yang lahir selepas merdeka dan sudah tinggal berdekad-dekad lamanya di negara ini, hidup turun temurun di negara ini, tetapi tidak boleh bercakap dan menguasai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris dengan baik. Kenapa?" soal Jasni.

Justeru itu, Jasni berharap, pada era  Kerajaan Malaysia Madani ini, senario berkenaan akan berubah, dan beliau tidak mahu lagi melihat institusi sekolah kita gagal melahirkan generasi muda yang tidak fasih berbahasa Inggeris, seterusnya gagal menguasai bahasa itu sebagai bahasa ilmu dan pada waktu yang sama masih jumud serta buruk, dan gagal sempurna dalam berbahasa kebangsaan.



Caption

Jasni Matlani (Gambar)

Comments

Popular posts from this blog