Tirai Program Pra Festival Puisi Esei bermula di Beaufort
BEAUFORT | Program Pra Festival Puisi Esei membuka tirainya di sini pada Sabtu yang lalu, 8 April 2023. Ia dirasmikan oleh Tuan Abdullah Haji Ukin, Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), mewakili YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, merangkap Presiden PBBS.
Program yang diadakan bersempena Festival Puisi Esei Antarabangsa Sabah Ke-2 2023 ini memuatkan pengisian ceramah sastera, sumbangan buku kepada PBBS dan majlis berbuka puasa.
Pra Festival yang dianjurkan Kerajaan Negeri Sabah, dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Komunitas Puisi Esei ASEAN ini dihadiri seramai lebih kurang 60 orang tetamu.
Sebelum perasmian, program diawali sesi perkongsian dan bimbingan karya pelbagai genre iaitu puisi esei, novel, cerpen dan puisi oleh para fasilitator BAHASA. Para peserta bengkel seramai 30 orang, terdiri para pelajar beberapa buah sekolah sekitar daerah Beaufort, berpeluang menimba ilmu kepenulisan dan apresiasi. Bengkel singkat ini sebagai pendedahan awal, dan suntikan minat terhadap bidang penulisan kepada para peserta.
Ruslan, dalam ucapan perasmian yang dibacakan oleh Abdullah Haji Ukin, menyifatkan program ini amat baik dan bersejarah kepada negeri Sabah, dan daerah Beaufort khasnya. Beliau menambah, walaupun Kota Kinabalu adalah "Ibu Negara Baharu bagi Puisi Esei Dunia", tetapi potensinya akan lebih menyerlah dan gemilang di peringkat yang lebih luas dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang.
Program susulan Pra Festival akan diadakan di beberapa buah daerah antaranya Semporna dan Pitas, sebelum acara kemuncak Festival Puisi Esei Antarabangsa Sabah Ke-2 2023 ini melabuhkan tirainya di Putatan, Kota Kinabalu pada 17 hingga 19 Jun depan. [Jy]
Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Datuk Jasni Matlani, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, dan Puan Aminah Awang Besar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.








Comments
Post a Comment