BAHASA JALIN KERJASAMA DENGAN SK. TANSAU SEMARAKKAN KEGIATAN SASTERA


PUTATAN : Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) menjalin kerjasama dengan SK Tansau dalam usaha badan itu menyemarakkan lagi kegiatan sastera di peringkat sekolah di negeri ini.

Presiden badan itu, Datuk Jasni Matlani berkata, kerjasama itu dilaksanakan dalam bentuk hubungan bilateral yang lebih kukuh  melibatkan pengkarya guru dan murid di sekolah berkenaan. 

"Dalam tempoh terdekat, BAHASA dijangka akan melaksanakan program perintis iaitu bengkel penulisan cerita pendek pengkarya guru, sempena Festival Puisi Esei Antarabangsa 2023, melibatkan guru - guru SK Tansau dan dibimbing oleh para penulis berkelibar yang pernah memenangi pelbagai hadiah sastera sama ada di peringkat negeri, Kebangsaan dan serantau." kata Jasni. 

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani nota kerjasama antara Badan Bahasa dan SK Tansau, di sekolah itu, di sini, pada pagi Jumaat. Nota kerjasama itu ditandatangani oleh Datuk Jasni sendiri bagi pihak BAHASA dan Puan Rosidah Abdul Murad bagi pihak SK Tansau.

Turut hadir di majlis itu, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Timbalan Presiden BAHASA. Juri Durabi, Naib Presiden BAHASA, Salvia Rose, Penolong Kanan Kokum, Normain Awang, Penolong Kanan Kurikulum, Anni Anthony, Penolong Kanan HEM, Sahara Razak, Setiausaha Kokum, Rasidah Daugan, wakil Panitia Bahasa Malaysia, Jayabalan, Penyelaras Bestari.

Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia berkata, dalam program printis bengkel penulisan kreatif itu nanti, pengkarya guru, akan dibimbing berkaitan dengan penulisan kreatif sama ada prosa pendek atau nonprosa, seterusnya diterbitkan dalam bentuk buku untuk bacaan guru-guru dan murid-murid sekolah rendah.

"Jika program ini berjaya, program seumpamanya akan diteruskan, dengan bengkel melibatkan para pengkarya murid pula." kata Jasni.

Manakala dalam perkembangan yang berkaitan, Jasni turut berharap agar usaha kerjasama itu mampu melahirkan bakat pengkarya guru dan murid yang baik  seterusnya mampu membentuk kemenjadian murid.

"Ini adalah program pertama seumpamanya, khususnya di daerah Penampang, yang mengangkat pengkarya guru dan murid, dan dijangka memberikan impak serta manafaat yang baik, secara berterusan, kepada Kedua - dua pihak." kata Jasni.

Kenangan...Jasni dan Rosidah, bergambar kenangan bersama dengan guru-guru dan beberapa jawatankuasa tertinggi Bahasa selepas majlis menandatangani nota kerjasama itu.

Comments

Popular posts from this blog